Sebelum kedatangan penjajah, bangsa Melayu merupakan pelaut dan pedagang yang gigih. Berdasarkan buku Tamadun Alam Melayu tulisan Mohd Aroff Ishak (terbitan Persatuan Sejarah Malaysia), bangsa Melayu yang termasuk dalam keluarga Austronesia/Malayo-Polinesia pernah mengembara sehingga ke benua Afrika dan sejauh Pulau Easter di Lautan Pasifik. Bangsa Melayu memiliki kemahiran tinggi dalam membuat perahu yang berkemampuan belayar dalam jarak yang jauh. Bangsa Melayu belayar menggunakan perahu yang dikenali sebagai perahu katir untuk berdagang dan mencari petempatan baru.
Ada 2 pendapat popular yang diutarakan oleh pengkaji sejarah tentang asal usul bangsa Melayu. Pendapat pertama yang dipelopori oleh Heine Geldern menjelaskan bahawa bangsa Melayu berasal dari wilayah Yunan di selatan China. Dari Yunan, bangsa Melayu berhijrah keluar ke tanah besar dan kepulauan Asia Tenggara. Terdapat dua gelombang penghijrahan bangsa Melayu iaitu yang pertama adalah kedatangan Melayu Proto, disusuli kemudiannya oleh Melayu Deutro. Kalau mengikut lagenda penceritaan Orang Asli, Melayu Proto itu dipercayai nenek moyang Orang Asli sekarang, manakala Melayu Deutro pula adalah nenek moyang orang Melayu.
Namun begitu, pendapat pertama itu disangkal oleh Willian Solheim yang menyatakan bahawa bangsa Melayu adalah sememangnya berasal dari Kepulauan Asia Tenggara. Pendapat ini dibuktikan oleh pakar linguistik yang membuat kajian di wilayah Yunan. Berdasarkan kajian mereka, tidak wujud sebarang persamaan dari segi bahasa antara wilayah Yunan dengan bahasa yang dituturkan oleh bangsa Melayu di Kepulauan Asia Tenggara. Penulis menyokong pendapat kedua tersebut. Kajian arkeologi seperti di Kota Tampan Lenggong, Perak yang menemukan tengkorak purba yang dikenali senagai “Perak Man” yang berusia puluhan ribu tahun membuktikan bahawa kawasan kepulauan Asia Tenggara ini memang telah mempunyai penghuninya sejak dari dulu lagi. Bangsa Melayu kemudian tersebar keluar ke wilayah-wilayah lain seperti Taiwan, negara-negara di kepulauan Pasifik dan Madagascar di Afrika.
Bangsa Melayu sejak dari dulu merupakan pedagang yang terkenal. Lihat sahaja kerajaan-kerajaan Melayu pada zaman silam, kesemuanya memiliki pelabuhan untuk perdagangan seperti kerajaan Funan (terletak di wilayah Kemboja-pelabuhan terkenal Oceo), Champa (berpusat di selatan Vietnam), Kedah Tua (Kataha) dan banyak lagi. Manakala, Kerajaan Melayu Melaka menjadi tersohor di seluruh dunia kerana pelabuhan entrepotnya dikunjungi oleh para pedagang dari seantero dunia sehingga ada pepatah yang mengatakan “sesiapa yang dapat menguasai Melaka bermakna dapat menguasai untung nasib Venice (pelabuhan terkenal di Eropah ketika itu)”. Bangsa Melayu telah berpengalaman berdagang dengan orang-orang asing di Melaka sehingga bahasa Melayu menjadi "lingua franca" di rantau ini.
Srivijaya (juga dikenali sebagai Zabag) pula merupakan kerajaan Melayu teragung di Asia Tenggara yang memiliki jajahan takluk yang meliputi Sumatera, barat Jawa, sebahagian besar Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke Indo-China. Malah, terdapat kajian yang membuktikan Srivijaya mempunyai hubungan perdagangan dengan Tanah Arab.
Orang Melayu (dipanggil "Kunlun/Malayo" oleh orang China) merupakan satu-satunya bangsa yang berani meredah Laut China Selatan pada masa itu, di mana orang China pun tidak berani melaluinya kerana keadaan lautnya yang ganas.
Namun kedatangan penjajah Barat terutamanya British telah mengubah senario ini. Bangsa Melayu telah kehilangan kemahiran dan peluang berdagang akibat sikap penjajah British yang sengaja meminggirkan bangsa Melayu dari bergiat dalam bidang ekonomi. Perniagaan yang dimiliki oleh bangsa Melayu telah diambilalih oleh bangsa asing apabila British menjajah Tanah Melayu. Kemahiran sebagai pelaut dan membuat kapal juga semakin luput secara perlahan-lahan dari minda orang Melayu.
Bermula dari situlah bangsa Melayu mula ketinggalan sedikit demi sedikit dalam bidang ekonomi. Buktinya boleh dilihat pada masa kini apabila bidang ekonomi banyak dikuasai oleh kaum bukan Melayu terutamanya Cina. Kaum bukan Melayu telah memiliki tapak yang kukuh dan modal yang banyak sejak dari zaman penjajah untuk berjaya dalam perniagaan pada hari ini. Ditambah dengan sifat-sifat positif seperti rajin dan berdisiplin telah menjadikan mereka meluncur laju meninggalkan kaum Melayu.
Manakala, orang Melayu ibarat perlu bermula dari 0 semula apabila bergiat dalam bidang perniagaan. Inilah kesan buruk daripada dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah British semasa menjajah Tanah Melayu dahulu. Orang Melayu tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani yang hanya cukup makan, manakala bangsa bukan Melayu tinggal di bandar-bandar dan meraih keuntungan yang besar dari aspek ekonomi. Memang tidak dinafikan sikap negatif juga turut menjadi penyumbang kepada kemunduran orang Melayu dalam bidang ekonomi. Tetapi dasar-dasar penjajah bagi penulis adalah perintis kepada tertinggalnya kaum Melayu dari segi ekonomi.
Pihak kerajaan terpaksa memikirkan pelan yang efektif untuk memperkasakan kaum Melayu dalam perniagaan. Kewujudan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memberi peluang yang luas kepada kaum Melayu untuk terlibat dalam bidang ekonomi telah banyak membantu. Buktinya, wujud golongan kelas menengah yang ramai di kalangan kaum Melayu. Walaupun pemilikan ekuiti atau syarikat perniagaan masih belum mencapai matlamat (matlamat mencapai 30% pemilikan ekuiti Bumiputera), tetapi keadaan sosioekonomi kaum Melayu pada hari ini telah bertambah baik berbanding keadaan sebelum merdeka. Namun begitu, orang Melayu tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian yang tidak seberapa tersebut. Perjuangan untuk terus mencapai kejayaan khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan perlu diusahakan agar bangsa Melayu dapat “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan bangsa lain yang telah berjaya. Bangsa Melayu tidak boleh terus mengharapkan pihak kerajaan untuk membantu mereka. Semangat berdikari perlu disuburi dalam jiwa mereka, ditambah dengan nilai-nilai murni seperti berdisiplin, gigih dan tidak mudah berputus asa agar bangsa Melayu berada di tempat yang sepatutnya.
Hak-hak keistimewaan yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan sepatutnya menjadikan Melayu berjaya dalam apa jua bidang. Tetapi kenapa kemajuan bangsa Melayu terlalu perlahan? Penyelewengan dan ketirisan yang berlaku dalam pelbagai sektor mungkin merupakan jawapan yang terbaik kepada soalan tersebut. Jika DEB dilaksanakan sebaik mungkin, boleh dikatakan tidak akan wujud lagi keluarga-keluarga Melayu yang kehidupan mereka seperti merempat. Bantuan yang disalurkan juga kadangkala tidak sampai kepada golongan sasaran. Peluang-peluang perniagaan yang sepatutnya dinikmati oleh orang Melayu hanya berlegar di kalangan orang-orang tertentu sahaja. Memang benar sikap “mengalibabakan” peluang perniagaan turut menjadi penyakit kronik yang menyelubungi pencapaian Melayu dalam bidang ekonomi. Sikap semula jadi orang Melayu ingin cepat senang tanpa perlu bersusah payah. Sikap ini perlu dihapuskan jika ingin berjaya. Takkan kita hanya berbangga mendapat sedikit sahaja keuntungan berbanding orang lain yang memperolehi manfaat yang berlipat ganda hasil daripada sikap negatif kita itu.
mintak share please,,ke blog artikel pelaut
BalasPadamhttp://www.akasiamag.com
x boleh!
Padam