Khamis, 13 Disember 2012

MISI KEMANUSIAAN MALAYSIA KE PALESTIN : KEBANGKITAN BANGSA DARI TIMUR KIAN BERPUTIK?


Keprihatinan Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh Israel laknatullah begitu menyentuh hati rakyat Palestin sendiri. Mereka menganggap Malaysia sebagai "saudara seagama Palestin" dan sentiasa berada di sisi Palestin semasa susah. Agak aneh, negara-negara jiran Palestin yang merupakan sebangsa dengan rakyat Palestin bagaikan tidak mempedulikan untung nasib rakyat Palestin ketika mereka dibom siang dan malam oleh rejim Zionis. Mana pergi negara-negara Arab yang kaya seperti Arab Saudi, Qatar, UAE dan sebagainya ketika Palestin memerlukan bantuan?

Akhirnya negara asing yang berada beribu kilometer dari Palestin - bukan sebangsa tapi berkongsi akidah dan kiblat yang samalah yang begitu mengambil berat tentang hidup dan mati rakyat Palestin. Bangsa Arab di mana nabi terakhir diturunkan ibarat semakin tidak memahami Islam. Mereka tidak sensitif dengan apa yang beraku di sekeliling mereka. Mereka tidak kisah apabila saudara seagama mereka disembelih oleh kaum Zionis. Mereka hanyut dengan kekayaan duniawi yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka. Mereka langsung tidak sedar bahawa kekayaan emas hitam (petrol) yang mereka miliki itu datang bersama amanah Allah - digunakan untuk kemaslahatan ummah sejagat.

Bangsa Arab telah mengkhianati amanah Allah itu. Sepatutnya mereka boleh menggunakan kekayaan yang dikurniakan itu demi mendaulatkan dan melindungi kesuciaan Islam daripada diperkotak-katikkan oleh kaum kafir yg sentiasa memusuhi Islam. Jika mereka menggunakan kelebihan yg mereka miliki itu, sudah pasti nasib umat Islam di Palestin dan seantero dunia tidak menjadi sebegitu buruk seperti sekarang.

Tapi mujurlah masih ada satu bangsa dari timur yang begitu prihatin dengan nasib saudara seagama mereka. Mereka begitu gigih membantu saudara Islam mereka yang ditimpa kesusahan di mana saja seperti Palestin, Somalia, Bosnia, Afghanistan, Rohingya dan sebagainya. Kegigihan mereka ini seolah-olah membenarkan sebuah hadis Rasullullah yang bersabda bahawa akan muncul satu kaum yang selalu menghulurkan bantuan sehingga ke akhir zaman.

Bagi GAD, peranan aktif yang dimainkan oleh Malaysia (baca: bangsa Melayu Islam) dalam membantu umat Islam bukanlah secara kebetulan. Ia bagaikan sunatullah yang telah tertulis di Luh Mahfuz. Keprihatinan tanpa mengenal erti jemu Malaysia ini bagaikan memenuhi hadis Rasullulah SAW mengenai akhir zaman yang berbunyi begini:

Dari Ibnu Mas'ud RA, katanya,
"Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihatkan mereka, maka kedua-dua mata baginda SAW dilinangi air mata dan air muka baginda kelihatan berubah. Aku pun bertanya, "Mengapakah kami melihat pada wajah Tuan sesuatu yang tidak kami sukai?" Baginda menjawab, "Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur yang membawa bersama-sama mereka Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan seperti halnya bumi ini dipenuhi dengan kedurjanaan sebelumnya. Sesiapa di antara kamu yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka itu walaupun terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah al-Mahdi." (Ibnu Majah)          


Apakah "bangsa dari Timur" itu adalah bangsa Melayu Islam? Banyak kajian yang dijalankan oleh ramai pengkaji jelas merujuk maksud hadis ini kepada bangsa Melayu. Ya, Rasullullah sudah memberi petunjuk bahawa Islam akan bangkit pada akhir zaman dan bangsa Melayu merupakan peneraju kebangkitan tersebut. Sama ada mahu percaya atau tidak hipotesis ini, ia memerlukan kita berfikir secara di luar kotak.

Mungkin akan ada yang berpandangan sinis dengan pendapat GAD ini. Mana mungkin bangsa Melayu yang dikatakan bodoh, lemah dan tidak bersatu ini akan mengetuai kebangkitan Islam di akhir zaman nanti. Tapi cuba fikir sejenak. Segalanya tidak mustahil bagi Allah. Apakah semasa nabi akhir zaman (Rasulullah SAW) dipilih di kalangan bangsa Arab, bangsa tersebut merupakan bangsa yang mulia, memiliki tamadun gemilang dan berakhlak terpuji? Jawapannya adalah tidak. Bahkan kaum Yahudi yang amat memandang hina bangsa Arab amat terkejut apabila rasul akhir zaman dilahirkan daripada bangsa Arab. Ketika itu, bangsa Arab memiliki krisis moral dan identiti yang teruk. Mereka hidup secara jahiliah. Tetapi Islam telah memuliakan mereka dan mengangkat tamadun mereka dengan begitu gemilang.

Kini, tidak mustahil sejarah berulang kembali. Bangsa Melayu Islam yang kini sedang mengalami krisis moral yang teruk, dihimpit masalah sosial yang genting dan perpaduan yang semakin rapuh boleh saja dibantu oleh Allah untuk menerajui kebangkitan Islam. Jika dilihat senario terkini, peranan Malaysia di peringkat antarabangsa adalah yang paling aktif dalam kalangan negara Islam. Malaysia lantang menyuarakan penindasan terhadap umat Islam. Malaysia juga dianggap dunia sebagai negara Islam contoh. Selain itu, Malaysia juga selamat daripada dilanda bencana alam yang dahsyat seperti gempa bumi, gunung berapi dan ribut taufan. Apakah petunjuk ini tidak cukup untuk melayakkan Malaysia (baca: Melayu Islam) sebagai peneraju dan tapak daulah Islamiyah di akhir zaman nanti? Tepuk dada tanyalah selera.